Dalam menguatkan sesebuah perjuangan, dari generasi ke generasi mestilah berlaku kesinambungan. Kalau ianya tidak berlaku, masakan ia boleh berterusan. Cita-cita perjuangan, ilmu-ilmu, malah roh perjuangan itu juga dialirkan kepada generasi berikutnya. Sesuailah dalam menunggu saat tibanya masa yang Allah janjikan, juga menunggu pemimpin yang Allah simpan. Kebenaran ini milik Allah, ia bukan milik siapa-siapa. Siapa yang menepati syarat dan mengikuti syariat-Nya, mereka akan dipandu hingga mendapat ganjaran yang Allah berikan.
Pengalaman yang berguna dari generasi sebelumnya sangat membantu dalam menyiapkan dan menguatkan generasi berikut. Kerjasama antara generasi ini sangatlah diperlukan. Sebuah perjuangan takkan mungkin melahirkan generasi yang baik jika mereka tidak belajar antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi jika ia perjuangan Islam. Hati-hati antara satu sama lain mestilah diikat dengan cita-cita yang sama.
Boleh diibaratkan, sebuah perjuangan yang dulunya hutan belantara diteroka generasi lama. Mereka berdepan dengan cabaran haiwan liar yang mengganas tatkala meneroka hutan yang tebal itu. Setelah diteroka, dibina penempatan untuk kemudahan peneroka awal. Kemudian datanglah generasi berikutnya, yang meluaskan lagi kawasan teroka menjadi sebuah kampung pula. Begitulah seterusnya. Datang mereka yang kemudian pula menyerikan dan mengindahkan lagi kawasan tersebut. Maka jadilah satu kesinambungan yang sangat cantik dan lahirlah hasil yang indah dari mereka. Bayangkan jika tidak berlaku kerjasama antara mereka, malah berlaku khianat sesama mereka maka tiadalah berlaku kesinambungan dan tidak akan melahirkan sesuatu yang indah lagi wibawa.
Begitulah gambaran dan kiasan generasi demi generasi yang akan meneruskan sesuatu perjuangan.
Antara kiasan lain pula, generasi yang dipersiapkan ibarat anak pokok yang disemai dalam tapak semaian. Ia tidak akan lama di dalam semaian itu. Ia perlukan ruang dan kawasan yang luas bagi tumbesarannya. Dalam menjaga anak pokok yang disemai ini, setiap jenis pokok perlu dikenal pasti keperluannya. Setiap benih keperluan tidak sama. Malah tempoh dalam semaian pun berbeza. Setelah tiba masanya, anak pokok perlu dipindahkan.
Maka bermulalah cabaran baru. Apakah anak pokok itu mampu membesar dengan baik ataupun tidak, bergantung semasa dalam semaiannya. Malah kawasan yang akan ditempatkan anak pokok itu juga perlu dikenal pasti. Contohnya, nak memindahkan anak pokok dari semaian tidak boleh terus ke hutan belantara. Ia memerlukan kawasan yang lapang dan bebas. Di sana, ia akan mendapat keperluan yang sama rata. Jika diletak terus ke dalam belantara, sudah pasti ia akan jadi mangsa haiwan atau pokok besar di sana. Cabaran terlalu besar.
Sebelum menjadi hutan belantara, semua pokok dan tumbuhan bermula dari kecil. Berlakulah persaingan antara mereka dalam meneruskan kehidupan di hutan sana. Semua tumbuhan berlumba mendapatkan air dan cahaya matahari. Akhirnya, siapa yang kuat itulah yang mampu kekal dan menghasilkan hutan tebal. Di dalam hutan itu tersimpan pelbagai khazanah alam yang Tuhan sertakan bersamanya.
Persoalannya kini apakah generasi yang ada sudah bersedia meneruskan perjuangan generasi sebelumnya? Apakah mereka bersedia untuk berdikari, malah menjadi pembela? Kepada generasi lama, adakah sudah bersedia untuk menyerahkan perjuangan kepada generasi berikutnya? Adakah sudah selesai tugas mempersiapkan generasi berikutnya? Kegagalan generasi berikut adalah kesinambungan generasi terdahulu.
Generasi terdahulu tidak boleh mengambil sikap seolah-olah perjuangan ini akan terhenti setakat ini. Ibarat menanam durian, bukan kita yang akan memakan hasilnya. Malah teknologi moden sekalipun belum ada yang mampu membuatkan benih durian menghasilkan buah dalam sebulan dua. Itulah sunnatullah yang berlaku.
Kota Kostantinopel terbuka 700 tahun setelah sabda Nabi Muhammad S.A.W. Pembukaan Mesir berlaku di zaman sahabat. Jatuhnya empayar rom di tangan sahabat. Namun itu semua bermula dari perjuangan Nabi Muhammad S.A.W. Abu Ayub Al-Ansari pun boleh terima pembukaan Turki bukan di tangannya. Malah kerana kedatangannya jugalah menjadi obor buat Sultan Muhammad Al-Fateh.
Marilah kita menyiapkan diri kita dengan iman dan taqwa. Marilah kita menyelamatkan iman diri dan keluarga kita. Segala panduan telah diberikan. Pesanan mursyid dijadikan amalan dan diteruskan. Hubungkan hati dengan mursyid melalui wirid dan ilmu peninggalannya. Berpegang dengan syariat Allah dan memburu tawaran yang Allah janjikan.