MAKSUD jihad di sini adalah perjuangan. Perjuangan memenuhi amanah 
dan aspirasi. Ketinggalan yang berlaku perlu ditebus. Ekuiti atau 
pegangan orang Melayu dan bumiputera perlu ditingkatkan. Bila 
keseimbangan tidak wujud, jurang akan terjadi.
Pelancaran strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera oleh Perdana 
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Universiti Teknologi Mara (UiTM)
 Shah Alam, baru-baru ini memberi makna yang besar kepada orang Melayu 
dan bumiputera.
Ada lima fokus pemerkasaan yang diberi bermula dengan Mendaya Modal 
Insan Bumiputera, Memantapkan Pemilikan Ekuiti Bumiputera dalam Sektor 
Korporat, Memperkukuh Pemilikan Aset Bukan Kewangan Bumiputera, 
Memperhebat Keusahawanan dan Perniagaan Bumiputera dan Memantapkan 
Ekosistem Penyampaian Perkhidmatan.
Adalah sesuatu yang logikal menjadikan Mendaya Modal Insan sebagai 
sesuatu yang utama. Menghadapi pengaruh globalisasi di alaf 21 ini 
menuntut daya dan kualiti modal insan yang mampu respons kepada cabaran 
dan menyumbang kepada perubahan dan kemajuan.
Malaysia dengan strategi negara maju Wawasan 2020 menuntut kemajuan 
itu berasaskan acuan kita sendiri. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
 (PPPM) yang baru dilancarkan cuba memberi asas supaya hal-hal 
fundamental dalam konteks keMalaysiaan disuburkan seperti Bahasa Melayu,
 etika dan nilai dan identiti nasional.
Dalam masa yang sama mengambil manfaat berbanding dalam proses 
pengilmuan dan pendidikan dari sumber global dilakukan supaya Malaysia 
tidak ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi terutama dalam 
memberikan kemahiran berfikir dan berfikir tinggi dalam kalangan 
warganya.
Maksud Falsafah Pendidikan Kebangsaan bermatlamat membangun Insan 
Seimbang dan Harmoni menjadi faktor yang melatari pendidikan negara 
supaya asas etika dan nilai mendasari proses pengilmuan dan pendidikan.
Hal ini menjadi pra-syarat kejayaan pemerkasaan ekonomi kerana lebih 
separuh abad usaha membangunkan umat Melayu dan bumiputera berjalan kita
 hanya baru mencapai sekitar 23.5 peratus sahaja.
Antara faktor yang menyebabkan ini terjadi adalah sikap orang Melayu 
terlalu bergantung dan menyebabkan mentaliti subsidi terjadi. Kedua, 
daya kompetensi yang kurang menyebabkan daya saing tidak berkembang.
Mendaya Modal Insan menuntut orientasi pengilmuan dan pendidikan yang
 menyeluruh supaya landasan etika dan nilai dijadikan pedoman utama. 
Amalan rasuah yang terjadi, ketirisan yang berlaku, penyelewengan yang 
terdapat adalah antara faktor yang menyebabkan peluang diberi tetapi 
disalahgunakan.
Johor Corporation adalah salah satu model terbaik dalam pengurusan 
keusahawanan dan korporat berasaskan jihad bisnes. Kemampuannya 
menguruskan 22 hospital termasuk hospital pakar di dalam dan luar negara
 di samping kegiatan bisnes, pelaburan dan wakafnya seharusnya menjadi 
inspirasi bahawa orang Melayu kalau diberi peluang dengan jihad bisnes 
yang tinggi mampu menyaingi pihak lain.
Strategi pihak kerajaan memperkasa generasi muda di dalam dan luar 
negara merupakan suatu pelaburan. Harus ada cetusan mendalam di kalangan
 generasi muda semangat jihad yang tinggi bagaimana apabila mereka tamat
 pengajian bersedia untuk menyumbang memperkasa kedudukan umat Melayu 
dalam ekonomi.
Ia harus dilihat sebagai suatu amanah besar. Pelan Pemerkasaan 
Ekonomi orang Melayu ini harus dilihat sebagai cabaran penting dalam 
dunia persaingan ini kerana tanpa dukungan ilmu, kemahiran dan 
profesionalisme agak payah untuk kita bersaing dalam dunia yang amat 
terbuka di samping mengukuhkan jati diri supaya akhirnya kita memiliki 
jiwa mandiri yang tinggi untuk maju. – Artikel ini dipetik dari UTUSAN 
Online.
 
0 comments :
Post a Comment