Headlines News :

>
Home » , , , , » Datuk Nasir Safar : PERJUANGAN IBARAT AIR YANG TENANG.

Datuk Nasir Safar : PERJUANGAN IBARAT AIR YANG TENANG.

Memperjuangkan Islam yang global mestilah aktif dan berterusan, tak kiralah apa saiznya, samada peringkat diri, keluarga, jemaah, dan yang lebih besar. Berjuang bukan ikut keadaan, isu dan kepentingan, bukan ikut selera awam lebih-lebih lagi bukan ikut tekanan musuh.

Berjuang kena ada prinsip, pendirian dan keyakinan yang kukuh. Kalau ikut keadaan namanya bukan perjuangan Islam tapi perjuangan pragmatis. Bila sedang selesa bertempik menggegarkan awan, rasa diri ibarat malaikat turun dari langit, rasa diri sempurna pantang ditegur. Tapi bila diuji, ditekan musuh, jadi hilang arah, sampai hilang atau salah pertimbangan, hingga terlajak menghina Islam dan umat Islam sendiri. Disuruh buang barah di kepala tapi terlajak buang kepala sekali.


Berjuanglah secara tenang dan meyakinkan, berbuatlah secara cool bukannya fool. Bak kata Abuya perjuangan Islam itu ibarat air yang mengalir. Air yang mengalir itu biasanya tenang, tak beriak, tak berbunyi, dalam, dan mempunyai kuasa gerakan yang kuat. Sebab itu pepatah ada mengatakan air yang tenang itu boleh menghanyutkan. Sedangkan air yang beriak biasanya tak dalam. Ini adalah tamsilan kepada orang yang banyak bercakap biasanya tidak berilmu dan tidak faham apa yang dicakapkan.

Begitulah orang yang kuat bertempik kononnnya paling giat memperjuangkan Islam, adakalanya tak berapa faham pun apa yang diperjuangkan. Sebab itu bila diuji jadi tak keruan, tak tentu arah dan sanggup mengorbankan Islam itu sendiri.



Mengapa perjuangan Islam diibaratkan air mengalir yang tenang? Kerana air itu mempunyai sifat-sifat yang sangat diperlukan oleh manusia sama seperti agama Islam, agama fitrah yang sangat diperlukan oleh setiap insan. Air adalah simbol kehidupan, menghilangkan dahaga, menyejukkan dan menyucikan. Air mampu menjadi pelarut yang boleh membersihkan berbagai kekotoran.

Di sebalik ketenangan dan kelembutan air itu pula kuasa besar yang boleh menjana kekuatan. Air terjun boleh menggerakkan kincir, menghasilkan kuasa elektrik atau kuasa hidraulik yang menjana keselesaan hidup manusia.

Begitulah bila Islam diperjuangkan dengan cara yang betul dan tepat sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul, yakni dengan dakwah dan kasih sayang. Maka Islam mampu menjana keselesaan lahir dan batin kepada seluruh manusia bahkan seluruh makhluk Tuhan.

Bagaimana realitinya dalam kehidupan? Kita ambil contoh perjuangan Islam yang global dalam keluarga. Apakah yang perlu kita buat agar dalam keluarga itu benar-benar tertegak Islam yang global itu.


1. Ayah atau ketua keluarga hendaklah berwibawa dan bijaksana. Bentuklah wibawa dan bijaksana ini dengan menjadikan Allah dan Rasul itu rujukan utama dan syariat Islam sebagai disiplin keluarga. Ertinya ketua keluarga itu tidak dicorak oleh mana-mana ahli keluarga tapi berpegang teguh kepada Allah dan Rasul, kepada Al Quran dan Sunnah. Ahli keluarga kenalah patuh dan taat kepada ketua keluarga.

2. Adakan program bina insan yang sistematik dan berterusan. Bukan hanya semangat-semangat atau hangat-hangat tahi ayam. Di antaranya program tetap bina insan itu adalah sembahyang berjemaah. Perjumpaan keluarga tak perlu buat appointment khas kerana sebenarnya Allah telah jadualkan pertemuan keluarga itu ialah solat berjemaah. Kalau ahli keluarga semuanya sibuk dengan hal masing-masing hingga tak boleh nak solat jemaah 5 waktu sehari di rumah, paling kurang satu kali waktu Subuh atau Isyak pun jadilah. Kalau tak boleh juga, seminggu sekali pun jadilah.

Inilah asal-usul sembahyang Jumaat. Solat Jumaat adalah perhimpunan umat Islam mingguan yang dijadualkan oleh Allah. Pengisiannya ialah solat jemaah dan khutbah, satu program bina insan, hablumminallah dan hablumminannas.

3. Dalam program pertemuan keluarga itu diadakan pengisian rohani, mana-mana idea yang baik disalurkan, apa-apa masalah diselesaikan untuk membina keluarga itu ke arah yang lebih baik.


4. Selain program ke dalam, dibuat juga program ke luar, seperti ziarah, berkelah dan lain-lain aktiviti diluar lingkungan keluarga itu, supaya ahli keluarga dapat didedahkan dengan perkara-perkara yang boleh membuka fikiran. Bila mereka melihat keluarga yang lebih dhaif ajarlah mereka untuk bersyukur. Bila melihat keluarga yang lebih baik, jadikan sebagai suri tauladan. Janganlah jadi keluarga yang tertutup dan syok sendiri sahaja.

5. Pastikan keperluan-keperluan asas seluruh ahli keluarga itu selesai, seperti makan-minum, pakaian, tempat tinggal, nikah kahwin, sakit pening, dan lain-lain.

6. Gembeling tenaga yang ada, supaya modal insan yang ada dalam keluarga itu dapat diatur dan dimanfaatkan dengan berkesan. Salurkan berdasarkan minat, bakat dan kemampuan, supaya tidak berlaku kerugian pada Islam. Kecerdikan yang tidak dibina dan disalurkan dengan baik akan tersia-sia, disalahguna dan merugikan. Ramai anak yang bijak tapi tak dididik dengan baik akhirnya menjadi sampah masyarakat. Ini adalah pembaziran dan kerugian bagi Islam.

7. Bila ada masalah rujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Jangan buat andaian dan teori sendiri. Lebih-lebih lagi jangan sekali-kali berjahat sangka satu sama lain. Bila berjahat sangka maka timbullah umpat mengumpat, fitnah memfitnah yang sangat menghancurkan perpaduan keluarga.

8. Bila ada ahli keluarga yang sedang tewas dalam mujahadah, misalnya tengah marah, masam muka, maka yang lain kena berbaik sangka dan doakan dia. Hari ini mungkin dia yang sedang diuji, hari lain mungkin giliran kita pula.

9. Selain kekuatan iman, ukhwah, keselarasan/kesefahaman, keluarga juga perlukan kekuatan tambahan iaitu duit atau nafkah atau rezeki. Dalam hal ini, bila timbul masalah tak cukup atau tak selesa maka kita kena semak hubungan kita dengan Allah sebab sumber rezeki itu Allah. Selain itu semak kasih sayang dan perpaduan dalam keluarga itu. Sebab, keluarga itu ibarat wadah. Kalau wadah dah bocor, sumbing atau pecah berkecai bagaimana nak tampung rezeki dari Allah.

10. Setelah melakukan semua itu (1-9), maka berserah diri dan bersangka baiklah dengan Tuhan. Untuk itulah perlu adanya bimbingan dan pimpinan dari ketua bani yang bijaksana dan berwibawa. 

Kalau sesebuah keluarga itu tidak melakukan program-program ini, maka ia ibarat air yang tidak bergerak atau bertakung. Islam tak dapat diperjuangkan dalam keluarga begini. Air bertakung itu berbahaya pada diri dan membahayakan orang lain. Baunya busuk, oksigen kurang, tak banyak hidupan di dalamnya dan mengganggu keselesaan awam. Bahkan salah satu tempat yang syaitan suka adalah air yang bertakung.

Begitulah panduan yang mursyid tinggalkan dalam perjuangannya. Samada perjuangan Islam didalam diri, keluarga mahupun masyarakat. Janganlah kerana strategi akhirnya memakan diri. Perjuangan melahirkan Ikhwan dan Asoib bukan kepada satu atau dua generasi sahaja. Ianya berterusan dan berpanjangan sehingga datangnya pemimpin yang Allah janjikan. Kalau ditakdirkan lama lagi tibanya, jagalah iman diri dan keluarga. Panduan telah diberikan. Berusahalah membaiki diri dan mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain. Islam terus berkembang dengan pembangunan rohaniah yang giat dilakukan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Mahapatih Srinagasari Jayapura Negara | Sun Template
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2013. AMGINT GLOBAL - All Rights Reserved
Template Design by Creating Website Published by Love and Care