Headlines News :

>
Home » , , » Jihad Ekonomi : Bumiputera perlu berdikari dan tidak meminta-minta, kata tokoh korporat Melayu

Jihad Ekonomi : Bumiputera perlu berdikari dan tidak meminta-minta, kata tokoh korporat Melayu



Tokoh korporat Melayu, Tan Sri Muhammad Ali Hashim menggesa supaya Bumiputera berdikari dan tidak bersikap meminta-minta bantuan semata-mata daripada kerajaan sekiranya mahu berjaya dalam bidang perniagaan yang diceburi.
Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) itu berkata, Bumiputera wajar berusaha sendiri dan membuang sikap terlalu bergantung kepada bantuan.
"Orang Melayu dan Bumiputera mesti berdikari dan jangan meminta-minta bantuan daripada kerajaan dan mereka perlu usaha sendiri.
"Tidak boleh bergantung 100% kepada kerajaan, mungkin pada awal memulakan perniagaan boleh dibantu, tetapi selepas itu perlu berdiri sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis Jaringan Usahawan Nusantara Sedunia di Hotel De Palma, Ampang pagi ini.
Muhammad Ali secara sinis turut mengkritik Ketua Pengarah Eksekutif (CEO), Datuk Abdul Rahim Hassan yang mengatakan Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun)  memang ditubuhkan bagi membantu ahli Umno sahaja baru-baru ini.
"Macam pinjaman Tekun, kerajaan beri pinjam tapi ada yang tidak bayar balik," katanya.
Semalam, PKR juga mendakwa ahli Umno yang meminjam daripada Tekun masih gagal menjelaskan hutang sebanyai RM1 bilion.
Muhammad Ali bagaimanapun berkata, beliau tidak menolak kepentingan untuk memajukan ekonomi Bumiputera tetapi ia mesti juga tidak merampas hak orang lain, yang perlu  diagihkan secara sama-rata.
"Kita perlu tingkatkan ekonomi Bumiputera tetapi jangan merampas hak orang lain," katanya.
Beliau yang juga Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), beberapa kali menekankan mengenai jihad ekonomi mengikut lunas agama Islam, dan ia tidak eksklusif kepada suatu kaum sahaja atau bersifat perkauman.
"Jihad ekonomi sebenarnya tidak eksklusif dan bukan perkauman.
"Bukan hanya membela kaum Melayu dan Bumiputera, tetapi terdapat juga kaum Cina dan India miskin, bukan hanya membela kaum-kaum tertentu sahaja," katanya.
Muhammad Ali berkata, kemelut ekonomi dan ketidakseimbangan global yang berlaku di seluruh dunia ketika ini berpunca daripada pengagihan kekayaan yang tidak  seimbang dan tidak adil, dengan yang kaya bertambah kaya.
"Sebagai contoh dengan pergolakan ekonomi dunia sekarang yang tidak aman dan stabil, ini semua kerana pengagihan tidak seimbang.
"Pengagihan perlu, tidak boleh yang kaya semakin kaya sehingga wujud jurang luas," katanya merujuk kepada pergolakan ekonomi di Amerika Syarikat dan  krisis di negara Arab.
Terdahulu, Muhammad Ali ketika menyampaikan ucapannya berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapinya semasa berada dalam bidang korporat, dan berkata, setiap  usahawan perlu belajar daripada kegagalan dan tidak berputus asa.
Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemerkasaan ekonomi Bumiputera dengan memperkenalkan lima langkah bagi memperkasa kumpulan  tersebut berikutan pegangan ekuiti korporat masih belum mencapai tahap 30% sasaran dan golongan itu kini masih dalam tempoh transformasi sejak empat dekad  lalu.
Bagaimanapun, pengkritik melihat pelan baru Najib itu bukan untuk membantu golongan Bumiputera sebaliknya lebih digunakan untuk membantu kroni mereka dalam Umno.
Agenda itu juga dilihat sebagai kesinambungan kegagalan dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1971 kerana dikaitkan dengan  masalah rasuah yang melebar. - 9 Oktober, 2013
Share this article :
 
Support : Creating Website | Mahapatih Srinagasari Jayapura Negara | Sun Template
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2013. AMGINT GLOBAL - All Rights Reserved
Template Design by Creating Website Published by Love and Care