| 
Sejarah telah mencatatkan bahawa kebangkitan Islam kali pertama 
yang berlaku di zaman Nabi Muhammad S.A.W. bersamanya ilmu dan akhlak. 
Selain mendapat pertolongan Allah secara lahiriah mahupun ghaibiah, 
kebangkitan Islam pertama tidak boleh dipisahkan dengan ilmu yang 
disampaikan dari Allah kepada Rasulullah, itulah wahyu namanya. Wahyu 
itu yang kini tercatit sebagai Al-Quran, panduan dan rujukan buat umat 
Nabi Muhammad S.A.W.  
Buah kepada ilmu yang 
diturunkan kepada Nabi Muhammad, lahirlah akhlak yang mulia. Akhlak yang
 agung ini menjadikan peribadi seseorang itu mulia bersamanya. Kerana 
akhlak inilah ramai para sahabat yang masuk Islam. Islam itu indah, 
kerana penganutnya mempunyai akhlak yang mulia. 
Kebangkitan
 Islam kedua juga pasti mengulangi yang pertama. Bezanya dulu Nabi 
Muhammad membantu dengan fizikalnya, kali ini fizikalnya tiada tetapi 
bantuan diberikan melalui roh baginda S.A.W., sepertimana roh baginda 
datang membantu para mujaddid terdahulu seperti Imam Ghazali, Imam 
Syafie, Imam Nawawi, khalifah Umar Ibnu Aziz dan ramai lagi. | 
Sejarah telah mencatatkan, para mujaddid dan mujtahid, mereka ini 
mempunyai akhlak yang mulia. Mereka inilah yang menyalin peribadi 
baginda Rasul S.A.W. Akhlak yang mulia itu lahir dan menjadikan peribadi
 seseorang itu begitu mulia apabila syariat Tuhan berjaya ditegakkan 
didalam dirinya. Hasil syariat yang dipandu dengan ilmu bersumberkan 
wahyu dari Nabi itulah membuatkan kejayaan dalam peribadi seseorang.
Kebangkitan
 Islam kali kedua sedang terjadi. Setiap hari, peristiwa yang berlaku 
semakin membenarkan kedatangan pemimpin yang dijanjikan. Sebagai post 
mortem buat para pejuang kebenaran, selain diminta untuk mendapatkan 
rasa-rasa hamba, kita dituntut untuk menegakkan syariat Islam dalam diri
 kita. Mana mungkin rasa-rasa hamba dapat diperolehi jika asasnya tidak 
dibangunkan.
Untuk menegakkan syariat didalam 
diri, kita perlukan ilmu. Sumber ilmu yang boleh membina peribadi yang 
agung sudah tentu daripada warisan Nabi kita S.A.W. Itulah Quran, Hadis,
 ijmak ulama dan kias, panduan buat kita selaku Ahli Sunnah Waljamaah. 
Juga selaku murid kepada mursyid kita, Abuya telah tinggalkan bekalan 
ilmu yang yang sepatutnya boleh membimbing peribadi dan 
sekurang-kurangnya keluarga kita dalam menyelamatkan iman. Itulah minda 
Abuya yang ditinggalkan dalam bentuk sajak-sajak, kuliah dan ceramahnya,
 samada telah dijadikan nasyid mahupun silibus pendidikan. Telah 
terbukti hasil didikan Abuya melahirkan manusia yang maju lahiriahnya 
dan maju tamadun rohaniahnya.
Pendidikan Abuya 
adalah pendidikan Islam yang melahirkan masyarakat yang berkasih sayang,
 bertolong bantu satu sama lain. Ini kerana ilmunya dari matan Al-Quran 
dan Hadis, ijmak ulama dan kias. Memang itu yang sepatut dihasilkan dari
 pendidikan Islam. Tidak hanya merperkatakan perihal ilmunya malah ilmu 
itu diamalkan dalam kehidupan seharian. Masyarakat awam pun terasa 
nikmat bersama mereka yang dilahirkan dari pendidikan Islam yang hakiki 
ini.
Ilmu sememangnya tidak dapat dipisahkan 
daripada kebangkitan Islam. Wahyu yang diturunkan kepada baginda S.A.W. 
itulah ilmu dan panduan kepada para sahabat ridwanullah 'alaihim.
Khalifah
 Umar ibnu Aziz ketika pemerintahannya, beliau membetulkan soal ilmu dan
 berperasaan kepada Ahlul Bait. Ketika itu Ahlul Bait dihina di 
mimbar-mimbar masjid, di majlis-majlis besar samada rasmi atau tidak, 
begitulah yang terjadi di zaman itu. Maka dengan ilmu ilham dan taqwa 
yang luarbiasa, keluarga Rasulullah dimuliakan semula. Malah diwajibkan 
berselawat keatas Nabi dan keluarganya didalam khutbah bermula di era 
Khalifah Umar Al-Aziz.
Begitu juga di 
zaman-zaman mujaddid berikutnya. Ilmu Ilham yang berteraskan Quran, 
Hadis, Ijmak Ulama dan kias ini membuahkan natijah dan hasil mulia. 
Sejarah kebangkitan Islam berulang dari zaman ke zaman. Maka tidak rugi 
kita mengkaji sejarah dan menyalinnya dalam membuat sejarah yang baru. 
Menolak kebaikan yang tercipta hasil dari pendidikan Islam ini tidak 
membawa kebaikan, malah menimbulkan perpecahan sekalipun perjuangan 
dibuat atas nama Islam.
Pendidikan Islam 
melahirkan manusia yang tinggi rasa kehambaannya. Perasaan ini digambar 
bukan melalui kata-katanya tetapi pada natijah perjuangan dan pada 
peribadi individu itu sendiri. Tidak boleh kita mengatakan kesalahan 
kita itu dijamin selamat kerana kita pejuang Islam. Malah Nabi sekalipun
 mengaku salah dan bertaubat setiap hari. Lihat bagaimana Khalifah Umar 
Al-Aziz yang sangat merasakan dirinya terlalu berdosa dan matinya dalam 
keadaan yang terlalu merasa dirinya tidak selamat. Perasaan itu bukan 
pada kata-katanya malah terus memberikan kesan pada fizikalnya juga.
Untuk
 mendapatkan peribadi yang mulia, untuk menjadi pejuang kebenaran, untuk
 membangunkan kebangkitan Islam kedua, semua ini perlukan ilmu yang 
benar dan tepat. Sumbernya mestilah dari Quran dan Hadis, ijmak ulama 
dan kias. Sekiranya Quran dan Hadis ditolak malah dikatakan tidak 
relevan dan tak bersesuaian, mana mungkin hati akan terpandu dan 
dipandu. Mana mungkin boleh terselamat dari tipuan nafsu dan syaitan, 
dari godaan dunia dan isinya. Sekalipun ilmu itu benar namun jika tidak 
memberikan kesan yang baik pada hati, nafsulah yang akan menguasai diri.
 Jadilah seperti Barsisa, yang melahirkan ribuan ahli abid, yang mampu 
beribadah di atas awan dan terapung di atas sungai, tetapi Barsisa 
sendiri pun akhirnya mati dalam kesesatan. Mati menyembah nafsu dan 
syaitan.



 
  

 
  

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 comments :
Post a Comment